Apakah itu Gadis Pingitan?

Istilah ‘Gadis Pingitan’ dalam sajak di atas mengundang banyak pertanyaan dalam diri saya. Jika anda pernah membaca majalah Gila-Gila, pastinya anda pernah terbaca komik ‘Tiga Dara Pingitan’. Apakah beza gadis sunti, gadis perawan dan gadis pingitan?

sumber
Gadis sunti adalah anak-anak perempuan yang mulai menunjukkan perubahan fizikal menjadi gadis, Gadis perawan bermaksud gadis yang masih dara. Gadis pingitan pula bermaksud anak gadis yang telah melalui proses berkurung untuk menjadi wanita. Apakah proses berkurung yang dimaksudkan untuk menjadi gadis pingitan?

Ada beberapa kelompok masyarakat Melayu mengamalkan tradisi pingitan. Proses pingitan mengambil masa 8 hari 8 malam. Tradisi ini bertujuan untuk membekalkan anak-anak perempuan yang sudah masuk ke alam remaja, dengan nilai-nilai etika, moral dan spritual, serta bagaimana anak-anak itu dapat membawa diri dengan status sebagai seorang anak, ibu, isteri mahupun sebagai anggota masyarakat.

Dalam tempoh 8 hari 8 malam itu, anak-anak perempuan dikurung di dalam sebuah rumah tradisi khas untuk upacara pingitan. Rumah itu tidak diterangi cahaya dan dipasang dengan geriji besi supaya anak-anak perempuan tidak lari atau tiada sebarang penceroboh dapat masuk ke dalam. Anak-anak perempuan ini ditegah keluar dari rumah itu selama menjalani proses pingitan. Seorang wanita tua akan menjaga mereka sepanjang masa. Rumah itu juga dikawal rapi.

Ibu bapa yang menghantar anak-anak perempuan mereka menjalani tradisi pingitan perlu bersumpah bahawa anak-anak perempuan mereka masih perawan. Upacara pingitan penuh berlagu dan bergendang. Gendang dipukul setiap hari mengikut upacara-upacara tertentu. Mengikut kata orang-orang tua, jika ada sebarang gendang yang pecah, itu menunjukkan ada antara peserta pingitan yang sudah tidak dara.

Sesi pertama proses pingitan, anak-anak perempuan itu akan diasapkan dengan dupa serta kemenyan untuk mengukuhkan persiapan mental mereka. Beberapa wanita akan membacakan doa-doa untuk menanamkan semangat yang teguh ke dalam diri peserta pingitan. Kebanyakan pengajaran dan nasihat yang diberikan dalam bentuk nyanyian atau bahasa berirama, diiringi dengan tabuh, gendang dan bunyi-bunyian.

Dalam proses pingitan, ada juga sesi menangis. Peserta pingitan dipaksa menangis. Jika tidak, mereka akan dicubit oleh penjaganya sehingga menangis. Upacara menangis ini seolah-olah menggambarkan kesedihan peserta yang terpaksa meninggalkan alam kanak-kanak dan alam solo. Sebab, selalunya selepas proses pingitan, anak-anak perempuan ini akan dinikahkan.

Selama tempoh 8 hari itu, anak-anak perempuan diajar mendalami agama, adat istiadat, menjaga kebersihan dan kecantikan diri seperti cara melulur tubuh dengan kunyit dicampur tepung beras. Mereka dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran seperti memasak, menjahit, menyulam dan sebagainya. Anak-anak perempuan diajar cara duduk perempuan, gaya berjalan sehinggakan cara bagaimana mahu mengambil hati suami dengan sentuhan mesra isteri. Segala pantang larang dan nasihat dijelaskan dengan tegas. Anak-anak perempuan diingatkan pada batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pokoknya, anak-anak perempuan diajar bagaimana caranya menjadi seorang wanita yang sempurna. Sesi terakhir, anak-anak perempuan itu akan dimandikan dengan air bunga cempaka.

Tidak kurang menarik, anak-anak perempuan ini letak tidur mereka berbeza selama lapan malam menjalani proses pingitan. Bermula dengan letak kepala di utara dan kaki mengarah ke selatan, letak tidur berbeza. Sehinggalah pada malam terakhir, letak kepala di selatan dan kaki mengarah ke utara. Mengikut kata orang-orang tua, letak tidur yang berbeza itu menunjukkan tahap-tahap seorang anak perempuan yang masuk ke alam dewasa.

Hari terakhir proses pingitan akan diadakan pula doa selamat dengan mengundang sanak saudara, keluarga dan sahabat handai. Selalunya dalam upacara ini, gadis-gadis pingitan akan didudukkan berbaris. Semasa acara tari menari, jika ada sebarang lelaki yang berkenan pada si gadis pingitan itu, mereka akan memberikan selendang kepada si gadis. Sekiranya si gadis terima selendang itu, tandanya si gadis setuju dilamar si teruna.  Si gadis boleh menolak lamaran dengan tidak menyambut selendang yang diberikan.

Biarpun si gadis pingitan belum menerima sebarang lamaran, mereka sudah dianggap dewasa dan tidak lagi boleh bercampur gaul dengan anak-anak lelaki yang lain. Si gadis tidak boleh bermain-main bersama kawan-kawannya. Bagi si gadis pingitan yang menjalani tradisi pingitan dalam usia muda seawal 9 tahun, mereka tidak boleh bermain bebas seperti kanak-kanak lain. Sebabnya, mereka sudah bergelar gadis pingitan.

Di Malaysia dan Singapura, tradisi pingitan tidak lagi diamalkan. Namun di beberapa daerah kepulauan Melayu, tradisi pingitan masih menjadi acara wajib. Di pulau Buton yang terletak di selatan Sulawesi di Laut Banda, tradisi ini masih diamalkan. Suku Buton yang menegaskan bahawa mereka berasal dari Johor menggelar tradisi pingitan ini sebagai tradisi Posuo. Masyarakat Buton percaya bahwa posuo adalah ritual bagi anak gadis untuk menjadikannya dewasa dan mampu mengurus rumah tangga. Selepas proses pingitan, masyarakat Buton akan mengadakan upacara doa selamat. Dalam upacara ini akan diadakan Tari Kalegoayang menggambarkan suka duka gadis-gadis Buton dalam menjalani tradisi pingitan tersebut. Tari Linda pula menggambarkan tahap-tahap kehidupan seorang perempuan mulai dari melepaskan masa kanak-kanak lalu memasuki masa remaja, kemudian masa dewasa dan siap untuk mengarungi bahtera rumah tangga.

Jika diamati, tradisi Pingitan ini samalah seperti gabungan ‘Pendidikan Seks’ yang diperkenalkan di sekolah-sekolah dan ‘kursus rumahtangga’. Cuma bezanya, tradisi pingitan lebih mendalam, menyeluruh dan penuh dengan adat istiadat. Namun yang penting sekali, didikan oleh ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembentukan sikap dan sahsiah seseorang semenjak awal lagi. Tradisi Pingitan hanyalah sebagai pengukuhan.

Mungkin ada baiknya anak-anak perempuan di Singapura menjalani tradisi pingitan sebelum berkahwin supaya mereka sedar tanggungjawab yang berat selepas bergelar isteri. Di Singapura, masih adakah gadis yang rela dikurung?


di copy paste bulat bulat dari sini mekasih

o/ -> kalau zaman sekarang gadis ketelanjuran ramailah kot.

2 comments:

platipus said...

"kalau zaman sekarang gadis ketelanjuran ramailah kot. "

ini bermakna lelaki ketelanjuran pon makin ramai..

bila semua dah hilang teruna dan dara, ish ish ish...

mirul said...

itulah die. sama samalah kita berdoa tak tergolong dalam golongan itu